Saturday, September 12, 2009

kamus peribahasa Melayu

Sila klik link untuk mencari maksud peribahasa Melayu....


http://www.karyanet.com.my/knetbeta/kamus_peribahasa/index_peribahasa.php

Panduan menjawab Kertas 2 ( Bahagian C)

Latihan 1:
Tuliskan beberapa amalan baik yang kamu dapati daripada petikan di bawah. Panjang jawapan kamu mestilah tidak kurang daripada 50 patahperkataan. Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.

Hamdan bangun lewat pada pagi itu kerana dia menonton televisyen hingga larut malam. Dia tidak sempat bersarapan. Dia terus mencapai basikal untuk pergi ke sekolah tanpa bersalam dengan ibu dan bapanya. Tiba di persimpangan jalan, dia tidak menghiraukan lampu merah lalu terus memecut ke sekolah. Mujurlah tiada kenderaan ketika itu. Sesampainya di hadapan sekolah, murid-murid telah berada di tapak perhimpunan. Dia terus berlari ke tapak perhimpunan tanpa mengunci basikalnya. Sedang semua murid menyanyi lagu “Negaraku” , dia masih lagi berlari untuk masuk ke dalam barisan. Ketika hendak pulang ke rumah, dia mendapati bahawa basikalnya telah hilang. Dia telah diberi peluang tumpang oleh rakan untuk pulang ke rumah.

Isi-isi cadangan:

- Bangun lewat – Bangun awal supaya tidak tergesa-gesa ke sekolah.
- Menonton hingga lewat malam – Tidak digalakkan kerana menjejaskan kesihatan. Tidak cukup tidur.
- Tidak sempat bersarapan - Bersarapan terlebih dahulu mendapatkan tenaga untuk belajar.
- Tidak bersalaman – Bersalaman dengan kedua-dua ibu bapa untuk mendapat restu.
- Melanggar lampu isyarat – Mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan.
- Berjalan semasa lagu “Negaraku” – Berdiri tegak untuk menghormati lagu kebangsaan.
- Memberi pertolongan kepada yang memerlukan.

Jawapan Contoh 1:

Berdasarkan petikan di atas, kita sepatutnya bangun awal supaya tidak tergesa-gesa untuk ke sekolah seperti yang berlaku kepada Hamdan. Kita tidak sepatutnya menonton hingga lewat malam kerana boleh menjejaskan kesihatan kita. Sebelum kita ke sekolah kita hendaklah bersarapan terlebih dahulu bagi mengalas perut supaya senang belajar. Kita mestilah bersalaman dengan kedua-dua ibu bapa kita bagi mendapatkan restu daripada mereka. Kita hendaklah mematuhi peraturan demi menjaga keselamatan diri kita. Sebagai rakyat Malaysia kita hendaklah menghormati lagu kebangsaan negara kita dengan berdiri tegak bukannya seperti yang dilakukan oleh Hamdan yang masih berlari. Apabila rakan-rakan kita memerlukan bantuan, kita semestinya menghulurkan bantuan kepada mereka. Kesimpulannya kita hendaklah mengamalkan amalan-amalan yang baik dalam kehidupan harian kita.


Latihan Contoh 2:

Tulis beberapa nilai/pengajaran yang kamu boleh dapati daripada puisi di bawah. Panjang jawapan kamu mestilah tidak kurang daripada 50 patah perkataan. Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.

Buah delima pelbagai rasa,
Dipetik sebelum waktu senja;
Dari kecil hinggalah dewasa,
Ibu bapa membelai penuh manja.

Dalam sungai dipasang bubu,
Masuk seekor anak kelisa;
Sungguh mulia jasamu ibu,
Sepanjang hayat dikenang sentiasa.

Limau kasturi jangan dilupa,
Beli juga sebungkus asam jawa;
Tidakku lupa padamu bapa,
Sanggup berkorban harta dan nyawa.

Kacang dicampur santan kelapa,
Nasi berulam pucuk pegaga;
Terima kasih ibu dan bapa,
Bersyukur kita hidup bahagia.


Isi Cadangan:

- Membelai penuh manja (Kasih sayang)
- Sungguh mulia jasa / dikenang sentiasa (Mengenang jasa)
- Berkorban harta dan nyawa (Bertanggungjawab)
- Terima kasih ibu dan bapa (Berterima kasih)
- Bersyukur kita hidup bahagia (Kesyukuran)
- Pengajaran/kesimpulan daripada teks (Hormat-menghormati)


Jawapan 1 Contoh 2:

Berdasarkan puisi di atas, terdapat beberapa nilai murni dan pengajaran yang boleh amalkan. Sebagai seorang anak kita hendaklah menyayangi kedua-dua ibu bapa kerana mereka telah membesarkan kita dengan penuh kasih sayang. Di samping itu, kita hendaklah mengenang jasa mereka . Sememangnya ibu bapa kita ialah orang yang amat bertanggungjawab. Oleh itu, kita hendaklah berterima kasih kepada mereka di samping bersyukur kepada Ilahi kerana mendapat ibu bapa yang baik. Kesimpulannya, untuk membalas jasa kepada kedua-dua ibu bapa, kita hendaklah sentiasa mentaati dan menghormati mereka.

Jawapan 2 Contoh 2:
Buah delima pelbagai rasa,
Dipetik sebelum waktu senja;
Dari kecil hinggalah dewasa,
Ibu bapa membelai penuh manja.

- Berdasarkan puisi di atas pengajaran atau nilai murni yang boleh kita ambil
ialah ibu bapa membela anaknya dengan penuh kasih sayang

Dalam sungai dipasang bubu,
Masuk seekor anak kelisa;
Sungguh mulia jasamu ibu,
Sepanjang hayat dikenang sentiasa.

- Selain itu, kita hendaklah sentiasa mengenang jasa ibu dan bapa kerana
mereka telah banyak berjasa kepada kita

Limau kasturi jangan dilupa,
Beli juga sebungkus asam jawa;
Tidakku lupa padamu bapa,
Sanggup berkorban harta dan nyawa.

- Di samping itu juga, ibu bapa juga merupakan orang yang bertanggungjawab dengan
melakukan pelbagai pengorbanan semasa membesarkan kita.

Kacang dicampur santan kelapa,
Nasi berulam pucuk pegaga;
Terima kasih ibu dan bapa,
Bersyukur kita hidup bahagia.

- Oleh itu, kita hendaklah berterima kasih kepada ibu bapa kita dan bersyukur kepada Ilahi
kerana mempunyai ibu bapa yang baik
- Kesimpulannya kita hendaklah sentiasa mentaati dan menghormati kedua-dua ibu bapa kita
yang telah banyak berjasa kepada kita


Berdasarkan puisi di atas pengajaran atau nilai murni yang boleh kita ambil ialah ibu bapa membela anaknya dengan penuh kasih sayang. Selain itu, kita hendaklah sentiasa mengenang jasa ibu dan bapa kerana mereka telah banyak berjasa kepada kita. Di samping itu juga, ibu bapa juga merupakan orang yang bertanggungjawab dengan melakukan pelbagai pengorbanan semasa membesarkan kita. Oleh itu, kita hendaklah berterima kasih kepada ibu bapa kita dan bersyukur kepada Ilahi kerana mempunyai ibu bapa yang baik. Kesimpulannya kita hendaklah sentiasa mentaati dan menghormati kedua-dua ibu bapa kita yang telah banyak berjasa kepada kita

Kesalahan umum frasa kerja

Kesalahan Umum Frasa Kerja Pasif Diri Ketiga

a. Merangkaikan kata ganti nama diri ketiga dengan kata kerja pasif yang mengalami
pengguguran awalan meN- dalam proses pemasifan kata kerja aktif transitif.

Emak memasak bubur nasi

Bubur nasi emak masak ( X )
Bubur nasi dimasak oleh emak ( B )

b. Frasa kerja pasif diri ketiga tidak menerima kata nafi bukan sebelumnya.

Ibunya bukan menguliti anaknya hingga tertidur

Anaknya bukan diuliti oleh ibunya hingga tertidur (Salah)
Anaknya tidak diuliti oleh ibunya hingga tertidur (Betul)


c. Kata nafi bukan boleh digunakan apabila terdapat dua maklumat yang bertentangan.

Pokok sena itu bukan dicantas atau dipotong oleh sesiapa pun (Salah)
Pokok sena itu tidak dicantas atau dipotong oleh sesiapa pun (Betul)


Kesalahan Umum Frasa Kerja Pasif Diri Pertama dan Kedua

a. Memasukkan kata lain antara kata ganti nama diri dengan kata kerja pasif.

Saya hendak meminjamkan buku ini kepada Ramu (Salah)
Buku ini saya hendak pinjamkan kepada Ramu (Betul)
Buku ini hendak saya pinjamkan kepada Ramu (Betul)


b. Frasa kerja pasif diri pertama tidak boleh menerima awalan di- atau ter- dan oleh.

Jam itu dirosakkan oleh saya (Salah)
Jam itu saya rosakkan (Betul)


c. Kata nafi bukan tidak boleh digunakan dalam binaan frasa kerja pasif diri pertama dan kedua.

Kerosakan itu bukan saya lakukan (Salah)
Kerosakan itu tidak saya lakukan (Betul)


d. Kata nafi bukan hanya boleh digunakan apabila terdapat dua maklumat yang bertentangan.

Hadiah itu bukan saya belikan malahan dia (Salah)
Hadiah itu bukan saya belikan tetapi dia (Betul)


e. Kata sandang nya tidak boleh hadir selepas kata kerja pasif diri pertama/kedua.

Pensel itu telah saya pulangkannya semalam (Salah)
Pensel itu telah saya pulangkan semalam (Betul)


f. Kata kerja pasif diri ketiga boleh diikuti kata sendi oleh secara pilihan

Kumari membeli sayur-sayuran di pasar (Betul)
Sayur-sayuran dibeli oleh Kumari di pasar (Betul)
Sayur-sayuran dibeli Kumari di pasar(Betul)

Tuesday, September 8, 2009

latihan terkini

Cari maklumat dan buat latihan berikut.
Kertas 2:
Bahagian A :
Tulis lima ayat yang lengkap berdasarkan aktiviti-aktiviti di perpustakaan yang terdapat dalam gambar di bawah.

Bahagian B:
Pilih satu daripada tajuk-tajuk di bawah dan tulis sebuah karangan yang panjangnya tidak kurang daripada 80 patah perkataan.
1. Tuliskan perbualan tentang cara menjaga kebersihan dan keceriaan sekolah untuk pertandingan kebersihan.
atau
2. Tulis syarahan tentang faedah berjimat cermat.
atau
3. Ceritakan tentang suasana perayaan yang diadakan di tempat kamu.

Monday, September 7, 2009

latihan tatabahasa

1. Kuda laut adalah sejenis _______ yang pelik.
A.ikan B.siput C.kuda D.burung
2. Para _____ Bumiputera diseru merebut peluang perniagaan yang ada.
A.hartawan B.usahawan C.karyawan
3. Nama hamba ialah Wan Damak,siapa pula nama ______ ?
A.awak B.hamba C.tuan hamba
4. Surat yang _____ kirim itu sudah aku terima.
A.mu B.baginda C.kau
5. Kaum wanita dahulu mahir melakukan kerja-kerja ______ bijih timah.
A.mendulang B.mengayak C.menampi
6. Emak saya ______ gula dan telur itu sehingga kembang.
A.menggentel B.menebar C.memukul
7. Salah seorang daripada ahli kongsi gelap itu _____ dan melaporkan kegiatan kumpulan mereka kepada pihak polis.
A.bermasam muka B.berpaling tadah
C.bertegang urat D.angkat kaki
8. Datin Mariah sanggup ______ untuk mengadakan majlis perkahwinan anaknya.
A.berkerat rotan B.senapang bambu
C.bergolok-gadai D.bergadai nyawa
9. Cik Anita memerlukan _______ kain untuk membalut luka di kaki adiknya.
A.secarik B.sepasang C.sehelai
10. Emak membeli ______ rebung untuk dimasak tengah hari ini.
A.sekaki B.setandan C.sepucuk

Friday, September 4, 2009

kenali warisan kebudayaan Malaysia

Sila "cut & paste pada adress bar" untuk mengetahui kesenian, kebudayaan dan warisan nenek moyang pelbagai kaum di Malaysia.

http://kebudayaan.kpkk.gov.my/about/perkhidmatan/?c4=16&c3=40&click=1


Klik pada mengenai sektor kebudayaan dan seterusnya klik kategori perkhidmatan.